BIODATA




SEJARAH ASRAMA SMK PAHI


Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi telah mula dibina  pada bulan Disember 1980 bersekali dengan bangunan sekolah di atas tanah berkeluasan 15 ekar 152 Depa (61319 meter persegi) di Lot 690 Mukim Kuala Pahi, Jajahan Kuala Krai, Kelantan.   Belanja keseluruhan pembinaan adalah bernilai sebanyak RM 2.8 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Bank Dunia.  Perasmiaan pembukaan ialah pada 15 Jun 1983 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan lsmail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra pada 28 Mei, 1984.

Asrama terdiri dari satu unit bangunan dua tingkat bagi pelajar lelaki, satu unit bangunan dua tingkat untuk pelajar perempuan dan satu unit bangunan satu tingkat untuk dewan makan.  Asrama SMK Pahi hanya mendapat bekalan air yang di pam terus dari sungai berhampiran dan menggunakan janakuasa sebagai punca elektrik. 

Kapasiti yang diluluskan untuk asrama SMK Pahi adalah 300 orang iaitu 150 orang untuk pelajar lelaki dan 150 orang untuk pelajar perempuan.  Namun pada tahun pertama ianya beroperasi, jumlah pelajar yang ada sehingga akhir tahun adalah seramai 25 orang sahaja.  Mereka ini adalah yang berasal dari kampung sekitar seperti Laloh, Sg. Rek, Temalir dan Kuala Gris.  Mereka ini hanya diawasi oleh dua orang warden sahaja.

Dalam usaha membantu mengatasi masalah keciciran, maka pihak sekolah telah membuka ruang bagi pelajar yang berada di luar dari daerah Kuala Krai seperti Paloh, Chiku dan Lebir.   Mereka ini telah dikenalpasti menghadapi masalah perhubungan terutamanya jalanraya, kemiskinan, jarak dari rumah ke sekolah amat jauh  dan juga ketiadaan ke mudahan pengangkutan yang membolehkan mereka berulang alik ke sekolah.  Maka dengan itu, permintaan untuk tinggal di asrama SMK Pahi telah meningkat dari setahun ke setahun.

Pada tahun 1990 Asrama telah mendapat bekalan air bersih dari Jabatan Kerja Raya (Kemudiannya diambil alih oleh Air Kelantan Sdn. Bhd.) dan mendapat bekalan elektrik dari Lembaga Letrik Negara (Kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad)

Melalui Rancangan Malaysia Ke 9, Sekolah Menengah Pahi telah dianugerahkan asrama baru.  Asrama baru ini  menelan belanja  sebanyak RM 4,567,899.00 dan
mula dibina Pada 18 Februari, 2008, yang terdiri dari dua unit bangunan tiga tingkat, satu unit dewan makan dan dua unit rumah warden.  Ianya diserahkan pada 23.05.2012 dan mula diduduki sepenuhnya mulai 09 Jun, 2012.

No comments:

Post a Comment